Pementasan Perdana Teater Muzikal ‘Jang Oh Jang’

Date 2016/10/4 7:15:25 | Topic: Notis Pensyarah

Pementasan Perdana Teater Muzikal ‘Jang Oh Jang’

Tarikh: 7-8 Oktober 2016

Masa : 8.30 malam

Tempat : Auditorium D'Sury, Kompleks JKKN Negeri sembilan

Teater Muzikal Jang Oh Jang, sebuah teater muzikal yang berlatarkan adat, azam dan angan di kalangan masyarakat Minang Negeri Sembilan anjuran Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya dan JKKN Negeri Sembilan yang akan dipentaskan buat kali keduanya pada 7-8hb Oktober 2016. . Pada tahun lepas teater ini telah dipentaskan dengan jayanya di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya. Kali ini produksi Pusat Kebudayaan akan membawa naskhah yang sama ke Auditorium D'Sury, Kompleks JKKN Negeri Sembilan bagi memenuhi undangan YAB Datuk Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Jang Oh Jang mengisahkan seorang pemuda kampung bernama Ujang yang kecewa kerana pinangan terhadap kekasihnya Milah ditolak hanya disebabkan Ujang seorang pemuda tidak berharta dan tidak mempunyai perkerjaan. Sebaliknya, keluarga Milah telah menerima pinangan Samad daripada golongan berada yang mempunyai harta serta berpelajaran. Oleh kerana hatinya masih sayang dengan Milah, Ujang curi-curi untuk berjumpa dengan Milah tunangan Samad untuk buat kali terakhir. Namun, orang kampung mendapat tahu dan Samad menjadi berang kerana Ujang telah melanggar adat. Hati Ujang bertambah hiba apabila Omak sendiri termakan dengan fitnah orang kampung yang menyebarkan ke seluruh kampung di mana Ujang telah melakukan kerja sumbang bersama Milah. Lantaran, Ujang membawa diri meninggalkan kampung halaman termasuklah Omak yang dikasihnya.

Kepergian Ujang menjadi kesedihan di hati Omak dan saban hari tetap menunggu kepulangan anak kesayangannya. Sehingga pada suatu hari Rabeah (sepupu Milah) dan Liya (teman Rabeah) menceritakan perkara sebenar yang Ujang tidak bersalah. Perkara ini menjadikan Omak semakin sedih dan merindui Ujang. Ujang akhirnya pulang ke kampung sebagai insan baru yang balik dari perantauan. Oleh kerana pada ketika itu Milah telah putus tunang dengan Samad, Omak telah menghantar rombongan peminangan sekali lagi.

Apakah peminangan Ujang akan ditolak buat kali ke-2? Adakah sebagai anak Minang Negeri Sembilan Ujang akan kembali merantau untuk memburu kejayaan seorang diri ataupun menetap di kampung bersama-sama Milah? Saksikan kesudahannya di Auditorium D'Sury, Kompleks JKKN Negeri Sembilan.

Untuk sebarang pertanyaan, mohon hubungi Cik Nursyafeqa Binti Razali di talian 03-7967 3454 / 017-524 9218 atau Cik Rosnani Seman di talian 019-3611963.

Salam Satu Budaya,

Aida Rahman
Senior Cultural Affairs Officer (Director's Office)
Cultural Centre
University of Malaya
03-79673320



This article comes from Notis FSKTM
https://maklum.fsktm.um.edu.my

The URL for this story is:
https://maklum.fsktm.um.edu.my/modules/news/article.php?storyid=348